Saturday, October 24, 2009

Petang Jumaat kelmarin saya dan isteri balik ke kampong mertua sama seperti yang lazim dilakukan sebulan sekali tetapi kali ini tanpa anak-anak. Mereka tidak mahu ikut sama kerana ada urusan masing-masing. Dan sekarang ini musim buah-buahan. Durian ada buahnya sedikit cukup untuk makan dan buat tempoyak. Manggis dan rambutan serta langsat ada sedikit. Mertua kata tahun ini buah-buahan tidak menjadi.
Tidur semalaman di rumah mertua. Seronok bermalam di kampong. Apa yang seronok?
Pertama, pukul 10 malam semua masuk tidor selepas bersembang sekejap selepas solat isyak dan makan malam. Di rumah mertua ada tv dan ada astro tetapi langgan yang basic sahaja. So, bosan tenguk tv1, tv2 dan tv3. Anak-anak yang lain kalau balik, mereka bawa kad astro masing-masing. Barulah dapat tonton saluran yang lain!
Yang kedua. Tidur dalam kelambu! Maklumlah rumah dalam kampong dan ditambah pula di belakangnya bahkan sekeliling rumah ada semak dan pokok-pokok. Belakang ada kebun getah. Sebelah tepi ada pokok buah-buahan: durian, rambutan, langsat, dokong, manggis, dll. Salak pun ada. Sebelah hadapan seberang jalan, paya! So, nyamuk adalah tetapi tidaklah banyak. So kena tidur dalam kelambu!
Ketiga. Di luar rumah ada orkestra! Ada macam-macam bunyi yang mula-mula menghalang kita dari tidur tetapi bila ubah persepsi sedikit, bunyi-bunyi itu jadi menyeronokkan. Bunyi katak. Bunyi cengkerik dan serangga lain. Bunyi burung. Bunyi babi hutan! Deruan angin melanda pelepah kelapa. Macam-macam bunyi yang tidak dapat didengar di bandar! Bila tumpukan perhatian kepada satu-satu bunyi, ia jadi mengasyikkan. Rasa seronok mendengarnya dan akhir membuatkan kita terlena!
Kempat. Rumah mertua ini rumah lama, rumah papan. Ada banyak lubang angin keluar masuk. Sangat dingin pada waktu malam walau pun tidak hujan. Ini yang paling menyeronokkan. Kalau di rumah di bandar, jarang sekali menggunakan selimut tebal bila tidur malam. Di kampong, kedinginan malam memerlukan selimut tebal. Orang kata 'tidor bergulong'. Sedap!

Cerita pasal buah-buahan di musim buah-buahan. Saya teringat semula zaman budak-budak dahulu. Musim buah-buahan adalah musim yang paling seronok. Semua buah-buahan makan.
Rambutan biji atau rambutan masam pun makan. Buah ketapi atau buah sentul, makan. Buah senduduk, buah kemunting, buah cenerai, buah cempunik atau buah perian, makan. Apa saja yang boleh makan, makan selain yang biasa seperti durian, manggis, langsat, rambutan, rambai, kundang, macang, mempelam, mangga, nangka, cempedak,dan banyak lagi. Di rumah mertua, makan jugalah sedikit durian, rambutan, manggis, langsat dan dokong tetapi tidaklah banyak seperti zaman kanak-kanak dahulu. Bila balik, dibekalkan sedikit oleh mertua untuk cucu-cucunya.
Tetapi sayang sekali. Durian 3 biji, masih ada lagi 2 biji. Buah rambutan hampir 2 kilo. Baru luak sedikit. Buah langsat, laris sedikit. Begitu juga dukong tetapi basih banyak lagi yang tinggal. Bila ditanya, jawapannya tak minat. Hairan kan? Zaman kita kanak-kanak dahulu, makan buah-buahan di musim buah-buahan ini hingga tak perlu makan nasi! Nampak gayanya buah-buahan di dusun 2 ekar itu menjadi rezeki beruk dan monyet kera.

No comments:

Post a Comment