Tuesday, January 12, 2010

Nama Allah

"Kenapa orang Islam sahaja yang boleh terpesong dengan ajaran agama lain tetapi orang yang beragama lain tidak senang terpesong. Kelemahan dimana?"

Ini adalah kepala satu tulisan dari blog Malaysianindians dan berkemungkinan besar penulisnya adalah orang India yang beragama Hindu.
Perkara ini ditimbulkan akibat kemelut isu penggunaan nama 'Allah' oleh penganut Kristian untuk tuhan mereka.
Saya ingin mencatatkan sedikit pandangan peribadi dalam hal ini dalam bahasa yang mudah walau pun ilmu agama saya tidaklah sedalam mana.
Pertama, apa saya tahu dalam Islam, seseorang yang sudah menganut agama Islam atau sudah menjadi seorang Muslim, tidak dibenarkan dengan mudah keluar dari Islam dan menganut agama lain atau diistilahkan murtad. Ia menjadi satu kesalahan besar dalam Islam dan pelakunya dikenakan hukuman yang berat hingga boleh dihukum bunuh! Ini adalah satu peraturan atau hukum yang mesti atau wajib dipatuhi. Tujuannya ialah untuk mengelakkan orang keluar masuk Islam sesuka hati. Islam tidak boleh dijadikan mainan beragama. Rasanya agama lain tidak ada larangan keluar masuk yang begitu keras. Jadi mudah untuk menganut agama lain dan kemudian keluar dan menganut pula agama yang lain. Jadi bagi orang lain yang bukan Islam, jika ingin menganut agama Islam mesti fikirkan sedalam-dalamnya tentang larangan ini sebelum menganut Islam. Jadi bagi Islam sebelum terpesong dari Islam atau menjadi murtad, adalah sangat penting untuk menjauhi diri dan juga menjauhkan perkara-perkara yang boleh memesongkan pegangan Islam. Agama lain tidak menghalang penganutnya keluar dan menganut pula agama lain dan boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa halangan.

Kedua. Islam mengutamakan kehidupan di akhirat yang dianggap lebih kekal dari hidup di dunia. Semua penganut Islam mahu masuk ke syurga pada hari akhirat nanti. Untuk menuju ke syurga di hari akhirat nanti, banyak perkara yang menjadi penghalangnya dan sebahagian besarnya ialah kenikmatan duniawi. Islam mengharamkan judi, satu nikmat duniawi. Islam mengharamkan arak, satu nikmat duniawi. Islam mengharamkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta zina, satu lagi nikmat duniawi. Islam mengharamkan rasuah, satu sumber kekayaan didunia dan kekayaan itu berkait rapat dengan judi, arak, zina. Tidak ada hedonisme dalam Islam. Rasa saya tidak ada agama lain yang menghalang semua ini. Semua membenarkan penganutnya melakukannya. Tetapi ini semua perkara yang sangat menyeronokkan. Dan kalau penganut Islam disogokkan dengan perkara ini, maka sudah pasti akan terpesonglah dari pegangan agama Islamnya.

Kita ambil contoh Orang Asli. Orang Asli sangat susah untuk diajak untuk menganut agama Islam. Kenapa? Jawapan yang biasa kita dengar: Banyak sangat peraturan dan larangan. Tidak ada yang menyeronokkan seperti berpesta dan sebagainya. Mereka mudah tertarik kepada Kristian. Mengapa? Sebab Kristian menyogok mereka dengan keseronokan dan kebebasan.

Di sini bukan masalah mudah terpesong tetapi Islam tidak mahu berlaku pemesongan itu kerana apabila sudah berlaku, akibatnya adalah sangat berat dan sangat tidak baik.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment